KERAJAAN memperuntukkan RM164.6 juta untuk mempertingkat usaha membendung penularan jangkitan Covid-19 di Sabah, dari September hingga Oktober tahun ini, kata Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Adham Baba.
Daripada jumlah itu, katanya, RM103.8 juta adalah daripada peruntukan mengurus dan telah digunakan bagi menyediakan keperluan seperti kelengkapan perlindungan diri (PPE), barangan guna habis, bahan uji selain aset mudah alih, termasuk penyumberluaran makanan dan ubat-ubatan.
“Bakinya iaitu RM60.8 juta adalah daripada peruntukan pembangunan dan digunakan oleh Jabatan Kesihatan Sabah untuk menambah baik fasiliti kesihatan seperti makmal dan bilik Unit Rawatan Rapi (ICU) di hospital dan perolehan kenderaan serta peralatan perubatan,” katanya menerusi kenyataan.
Dr Adham berkata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin semalam meninjau sendiri persiapan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Pangkalan TUDM Subang untuk menerbangkan segera sebahagian peralatan berkenaan ke Sabah.
Katanya, penerbangan itu turut membawa peralatan disumbangkan pelbagai pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO) dan swasta.
“Kerajaan telah memberi komitmen tinggi dalam membantu menangani Covid-19 dengan menyalurkan segera peruntukan itu sebagai langkah melindungi keselamatan rakyat di Sabah,” katanya. – Malaysiapost