KERAJAAN diminta menangguhkan pembentangan Belanjawan 2021 pada 6 November ini, bagi mempertimbangkang cadangan dari Pakatan Harapan (PH).
Justeru, pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang mencadangkan supaya rang undang-undang Belanjawan dibentangkan pada 13 November dan bukannya 6 November.
“Ia bagi membolehkan Belanjawan 2021 dapat memasukkan cadangan baik oleh kerajaan Perikatan Nasional (PN) dan PH untuk memastikan ia dapat diluluskan oleh Parlimen,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Majlis presiden PH sebelum ini mahu Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera memulakan perbincangan dengan pembangkang mengenai Belanjawan 2021 sebelum ia dibentangkan.
Majlis itu berpendapat belanjawan harus menumpukan kepada keperluan petugas barisan hadapan negara, mengenal pasti strategi baharu untuk mengembangkan ekonomi dan membantu mereka yang kehilangan pekerjaan atau pendapatan akibat pandemik Covid-19.
Kit Siang berkata, biarlah Parlimen dapat dibentangkan dengan belanjawan yang mampu menyelamtkan nyawa dan kehidupan rakyat Malaysia ketika penularan pandemik Covid-19
“Belanjawan itu harus mencerminkan pendekatan ‘seluruh pemerintahan’ dan ‘seluruh masyarakat’ sekali gus mewakili pendangan kerajaan serta pembangkang dalam peperangan melawan Covid-19,” katanya. – Malaysiapost