TPM yang akan dilantik mesti ‘team player’, pendokong kuat Muhyiddin

TPM yang akan dilantik mesti ‘team player’, pendokong kuat Muhyiddin

Nurul Huda Abhar

TAN Sri Muhyiddin Yassin memerlukan seorang Timbalan Perdana Menteri yang menjadi ‘team player’ atau kerja berpasukan dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Perkara itu dinyatakan bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Wan Ahmad Wan Omar yang turut yakin Perdana Menteri akan melantik seseorang yang menjadi pendokong kuat beliau bagi mengisi jawatan tersebut.

“Beliau (Muhyiddin) mesti akan mencari pendokong kuat kepada dirinya, orang yang boleh bekerjasama atau ‘a team player’.

“Dengan itu sahaja kerajaan Perdana Menteri akan menjadi sebuah Kabinet yang kuat dalam satu pasukan kukuh,” katanya kepada Malaysiapost.

Beliau menekankan Timbalan Perdana Menteri adalah jawatan yang sangat penting dan sesiapa yang dilantik mestilah seseorang yang boleh bekerjasama menyokong ketua kerajaan iaitu Perdana Menteri.

“Kalau kita melantik seorang yang tidak boleh bekerjasama, bukan sahaja kestabilan politik, kestabilan parti lain juga akan terjejas. Yang satu ke kiri, yang satu ke kanan. Susah begitu,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan Perdana Menteri sedia melantik seorang wakil Umno sebagai timbalannya dan terserah kepada parti tersebut mengemukakan calon.

Tiga nama disebut-sebut setakat ini iaitu Timbalan Presiden Umno, Datuk Seri Mohamad Hasan; Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Menteri Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein.

Mengulas lanjut, Wan Ahmad berkata jawatan Timbalan Perdana Menteri tiada dalam Perlembagaan, sebalik ia jawatan ciptaan di bawah bidang kuasa budi dan bicara Perdana Menteri.

Beliau berkata, meskipun PN adalah kerajaan yang didokong beberapa parti politik, tetapi anggota Kabinet adalah bidang kuasa lantikan pilihan Perdana Menteri, begitu juga Timbalan Perdana Menteri.

“Ini termasuk bidang kuasa prerogatif Perdana Menteri sebaik mungkin memilih (Timbalan Perdana Menteri) yang dapat bekerjasama dalam meningkatkan khidmat kerajaan kepada rakyat,” katanya.

Menurutnya, tidak salah jika kalau Umno mahu pemimpinnya dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri kerana ia adalah parti besar yang mendokong kerajaan PN dan sewajarnya mendapat pertimbangan atau penghormatan untuk jawatan tersebut.

“Jawatan itu hak Umno atau hak parti lain itu adalah politik. Apa yang saya baca Perdana Menteri sudah hormati nak bagi pada Umno, tapi siapa orangnya kita kena faham maksud Perlembagaan.

“Jadi dalam bab hasrat Perdana Menteri untuk mencari orang nombor dua dalam kerajaan, pilihan terbaik ialah kita menghormati prerogratif seorang Perdana Menteri,”ujarnya. – Malaysiapost