PEMUDA Umno membawa 10 cadangan utama untuk dipertimbangkan kerajaan sebagai inisiatif dalam Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat.
Ketuanya, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata delegasi Pemuda Umno sudah mengadakan pertemuan dengan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz selama lebih sejam pagi ini.
Katanya, dalam pertemuan itu pihaknya menyampaikan memorandum suara hati rakyat terhadap Belanjawan 2021.
“Beliau kelihatan cukup positif dan memberikan jaminan untuk mengambil serius apa yang dibangkitkan kerana semuanya menyentuh soal realiti kesempitan dan kesusahan rakyat ketika ini termasuk isu KWSP, lanjutan moratorium, pembuangan kerja dan belia menganggur.
“10 cadangan utama untuk memastikan peningkatan aliran tunai rakyat yang mampu menggalakkan pertumbuhan ekonomi di kala negara berhadapan dengan krisis Pandemik Covid-19,” katanya dalam kenyataan di Facebook hari ini.
Antara 10 cadangan utama Pemuda Umno yang dibawa adalah, lanjutan tempoh morotarium secara pukal untuk sekurang-kurangnya dalam tempoh tiga ke enam bulan lagi.
- Memberi kebenaran untuk pengeluaran Akaun 1 KWSP sekurang-kurangnya RM5,000.
- Yuran percuma kepada pelajar Universiti Awam oleh kerana tiada sesi pengajaran dan pembelajaran di kampus.
- Bantuan Bulanan E-Wallet sebanyak RM50 sebulan selama 12 bulan kepada pelajar Universiti Awam dan Swasta untuk pembelian data telefon mudah alih bagi tujuan pembelajaran secara dalam talian.
- Bayaran khas sekurang-kurangnya RM500 kepada ibu-bapa bagi meringankan perbelanjaan sesi persekolahan tahun 2021.
- Melanjutkan tempoh penangguhan bayaran balik pinjaman PTPTN hingga Disember 2021. Pulangan tunai sebanyak 30 peratus bagi peminjam yang terus membayar pinjaman sepanjang wabak Covid-19.
- Melonggarkan syarat pinjaman serta memudahkan proses pinjaman perniagaan di Tekun Nasional, Amanah Ikhtiar Malaysia, SME Corp atau mana-mana agensi berkaitan untuk peniaga kecil dan sederhana (PKS).
“Untuk ini, kerajaan disarankan untuk memberi bantuan geran RM5,000 kepada syarikat yang berkelayakan melalui Geran Khas Prihatin Perniagaan (GKP),” katanya.
- Insentif subsidi upah RM600 sebulan selama 12 bulan kepada syarikat yang menggaji graduan dan belia yang di ambil bekerja.
- Meningkatkan geran reskilling kepada pekerja sektor pelancongan (perhotelan, penerbangan, dll) untuk membantu mendapat pekerjaaan sektor lain.
- Bayaran khas bulanan kepada Penjawat Awam Barisan Hadapan sehingga berakhirnya pendamik Covid-19 atau berada di tahap minimum. -Malaysiapost