Nurul Huda Abhar
MENTERI Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kerajaan bersedia sepenuhnya untuk memastikan tidak berlaku sebarang kesulitan atau kebimbangan penularan wabak Covid-19 di pusat pemindahan banjir.
Beliau berkata, kerajaan faham dengan situasi di mana jika berlaku bencana banjir mangsa yang terlibat akan berpindah ke pusat pemindahan sementara yang disediakan.
“Tempat tidur mereka di dalam khemah, perkumpulan orang ramai, masalah tandas yang berkongsi, semua ini akan meningkatkan lagi risiko penularan.
“Sama juga sewaktu proses pemindahan, semasa bantuan membawa keluar mangsa. Ada yang perlu didukung jadi akan berlaku sentuhan. Kita sudah membuat perbincangan dan perancangan ke arah itu.
“Sama-sama kita berdoa, terutama saya juga dari Pantai Timur agar banjir tidak akan berlaku. Kerana musim tengkujuh akan berlaku sekitar November dan Disember,” katanya ketika sidang media hari ini.
Pada masa sama, beliau mengulangi kenyataan bahawa kerajaan telah bersedia untuk sebarang kemungkinan bagi menghadapi banjir agar penularan wabak Covid-19 tidak berlaku sepanjang tempoh tersebut. -Malaysiapost