Kereta Myvi punca kematian anggota polis ditemui

KERETA Perodua Myvi dipercayai dinaiki dua lelaki yang melarikan diri dari ditahan unit peronda (MPV) sehingga menyebabkan seorang anggota polis maut dalam nahas di Jalan Kangkar Tebrau/Jalan Tun Teja di Johor Bahru pagi tadi, sudah dijumpai.

Memetik laporan Bernama, Ketua Polis Johor Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kereta berwarna ungu itu ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Baru Pandan, Johor Jaya pada jam 11.30 pagi, kira-kira tujuh kilometer dari lokasi nahas.

“Polis kini dalam usaha mengesan suspek terlibat dan difahamkan kereta itu disewa oleh seorang wanita. Kita yakin dapat kenal pasti dalam masa terdekat suspek yang terlibat,” katanya kepada pemberita selepas memberi penghormatan terakhir kepada mendiang Konstabel Nicholester Dadup Unggat di Balai Polis Bandar Dato’ Onn hari ini.

Beliau berkata, siasatan turut membawa kepada penemuan sejumlah peralatan dadah dalam kenderaan tersebut dan polis mengesyaki suspek terlibat dalam penyalahgunaan atau pengedaran dadah sehingga menyebabkan mereka melarikan diri daripada ditahan polis.

Pada masa sama, katanya, polis percaya suspek masih berada di Johor.

“Dia nak lari ke mana, kita akan dapat kesan dalam masa terdekat. Kereta itu ketika ditemui hanya mempunyai kesan bergesel,” katanya sambil menambah polis sedang menyemak butiran lanjut kenderaan itu termasuk jika mempunyai saman.

Mengenai cadangan menaikkan pangkat mendiang yang bertugas di Balai Polis Bandar Dato’ Onn sejak awal tahun ini, Ayob Khan berkata, perkara itu akan dibincang dengan Bukit Aman memandangkan mangsa maut ketika dalam penugasan.

Terdahulu, suasana pilu menyelubungi pekarangan Balai Polis Bandar Dato’ Onn ketika upacara penghormatan terakhir berlangsung yang diketuai Ayob Khan sebelum disusuli Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin dan pegawai kanan lain.

Turut hadir, kakak mendiang Elizcavelynicy Unci Unggat, 23, dan ahli keluarga.

Jasad Nicholester Dadup akan dibawa pulang ke kampung halamannya di Sibu, Sarawak untuk disemadikan.

Dalam insiden kira-kira jam 5 pagi itu, Nicholester Dadup maut selepas cedera parah pada bahagian kepala, manakala rakan setugasnya yang juga pemandu MPV terbabit, Lans Koperal Mohammad Fadhirul Musa, 32, cedera parah dan kini dirawat di Unit Rawatan Rapi Hospital Sultan Ismail di Johor Bahru.

Ketika kejadian, mereka mengejar kereta Perodua Myvi yang enggan berhenti setelah diarah berbuat demikian sebelum bergesel serta terbalik dan berlanggar dengan sebuah Perodua Aruz. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights