PELAKON dan pengacara, Scha Alyahya mengakui dia berdepan masalah anxiety atau kerisauan melampau terutama ketika berada dalam kumpulan yang ramai.
Scha mendedahkan perkara itu ketika menjawab beberapa soalan yang diajukan oleh peminat menerusi akaun Instagramnya semalam.
Menurut Scha atau nama sebenarnya, Sharifah Nor Azean Syed Mahadzir, dia tidak dapat mengesahkan dirinya menghidap penyakit itu, namun mengakui berasa panik dan risau melampau sejak dahulu lagi.
“Apabila bercakap tentang anxiety, ia merupakan satu stigma yang membuatkan orang lain berasa takut,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Tambah pelakon yang popular dengan filem Aku Bukan Tomboy itu, sejak dahulu lagi, dia mempunyai perasaan gemuruh dan cepat panik dalam satu-satu perkara.
Isteri kepada pengacara, Awal Ashaari itu berkata, biarpun dirinya bergelar selebriti yang memerlukannya untuk bertemu ramai pihak, perasaan itu sukar dibendung walaupun dia cuba untuk mengawalnya.
“Saya pernah mencabar diri untuk melawan rasa gemuruh terutama semasa berada di dalam majlis-majlis besar.
“Kerana masalah gemuruh dan panik ini, saya pernah beberapa kali terpaksa membatalkan janji temu pada saat-saat akhir,” katanya.
Menyedari kekurangannya itu, Scha mendakwa dia gemar menghabiskan masanya di rumah dan jarang keluar tanpa sebarang tujuan.
Scha yang kini hamil enam bulan turut berkongsi perkembangan kandungannya yang semakin membesar.
Setakat ini, Scha masih belum mengetahui jantina bayi yang dikandungnya kerana alat kelamin bayi tersorok walaupun pelakon itu telah dua kali melakukan ujian imbasan.
“Doktor minta saya datang lagi. Selepas mengetahui jantina bayi nanti, saya akan kongsikan kepada semua,” katanya.
Scha menjelaskan dia tidak kisah dikurniakan anak lelaki atau perempuan untuk cahaya mata keduanya nanti. -Malaysiapost