Wira Putra mahu kewarganegaraan ahli UMANY dilucut

PERGERAKAN Wira Putra Malaysia berpendapat tindakan melucutkan kewarganegaraan terhadap ahli Persatuan Pemuda Baharu Universiti Malaya (UMANY) adalah amat perlu dan wajar.

Ketua Penerangannya, Meor Mohd Hilmi Meor Zainun, berkata tindakan UMANY memuatnaik artikel bertajuk ‘YDPA should not interfere in national affair’ adalah satu kenyataan kurang ajar dan bersifat provokatif melampau terhadap institusi Raja.

Katanya, ia sekali gus mengundang kemarahan rakyat khususnya masyarakat Melayu di negara.

“Kami melihat bahawa tindakan UMANY ini sangat tidak mengambarkan mereka adalah warganegara Malaysia yang baik.

“Sebaliknya, mereka seolah-olah mempamerkan diri mereka itu sebagai pengkhianat negara kerana tidak berpegang kepada prinsip Rukun Negara yang kedua, iaitu “Kesetiaan kepada Raja dan Negara”,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, tindakan UMANY ini seolah-olah mencabar dengan menghina institusi Raja Berpelembagaan dan menghina Yang di-Pertuan Agong khususnya dengan menyatakan ‘Raja hanya mempunyai status simbolik yang telah dianugerahkan oleh Perlembagaan Persekutuan’.

“Justeru, kami berpendapat, kenyataan UMANY ini adalah sebagai satu kenyataan yang amat jelas kebodohan dan begitu bebal pemikiran mereka dengan mengatakan kedudukan Raja-Raja Melayu itu adalah anugerah di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Sedangkan umum mengetahui yang Raja-Raja Melayu itu adalah ketua di dalam negeri masing-masing dan Yang Di-Pertuan Agong itu adalah ketua negara yang mempunyai peranan dan kedudukan yang begitu tinggi didalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights