Nurul Huda Abhar
PARTI Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) mengusulkan 10 cadangan untuk perhatian kerajaan menjelang pembentangan Belanjawan 2021, Jumaat ini.
Parti yang ditubuhkan oleh bekas Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman itu, adalah satu parti yang digerakkan orang muda untuk memfokuskan kepada agenda belia.
Antara 10 cadangan Muda untuk Belanjawan 2021 adalah:
- Melanjutkan moratorium sehingga Jun 2021.
- “1 Keluarga, 1 Laptop” : Menyediakan sebuah komputer riba atau elaun tunai berjumlah RM1,000 bagi setiap keluarga untuk kegunaan pembelajaran atas talian.
- Bantuan tunai berjumlah RM50 sebulan bagi pelajar universiti sebagai perbelanjaan pembelajaran atas talian bagi tempoh enam bulan yang akan datang.
Ini selari dengan usaha kerajaan menambahkan ‘router’ internet mudah alih untuk meluaskan jangkauan ke kawasan yang tiada atau lemah cakupannya.
- Bonus dua bulan untuk pekerja barisan hadapan seperti kakitangan perubatan, polis dan tentera sebagai penghargaan kepada pengorbanan mereka untuk negara dan meningkatkan semangat dalam menangani Covid-19.
- Geran tambahan bagi latihan semula dan naik taraf kemahiran bagi mereka yang kehilangan pekerjaan, juga menyediakan bantuan dan penempatan pekerjaan (fokus kepada sektor-sektor tenaga boleh diperbaharui).
- Geran tambahan dan pelepasan cukai untuk perniagaan yang mengutamakan pengambilan pekerja tempatan dan graduan baru, serta yang menggunapakai amalan contoh dalam mengurangkan pencemaran dan kesan rumah hijau.
- Melanjutkan program subsidi gaji untuk perniagaan dari Januari ke Jun 2021, dan memberi subsidi yang lebih tinggi untuk industri-industri yang terkesan teruk seperti F&B, pelancongan, dan penerbangan.
- Memperluaskan jaringan keselamatan sosial (elaun, dana, dsb) untuk komuniti rentan seperti mangsa keganasan rumahtangga, komuniti OKU, artis dan seniman, dsb (akibat daripada peningkatan mendadak kes Covid-19).
- Peruntukan dana bagi memudah dan menggalakkan pelaburan berkaitan tenaga lestari dan boleh diperbaharui untuk mencipta pekerjaan bernilai tinggi bagi rakyat Malaysia sekaligus bersedia mendepani perubahan iklim
- Peruntukan dana kawasan Parlimen yang saksama bagi semua Ahli Parlimen untuk memastikan pengagihan kewangan yang lebih pantas ke kawasan terjejas dan proses desentralisasi bantuan untuk kebaikan rakyat berjalan lancar. – Malaysiapost