Dakwaan rawatan kesihatan negara serba kekurangan, tidak benar – Dr Noor Hisham

ARTIKEL yang diterbitkan oleh jurnal saintifik laman web Nature, yang menyifatkan rawatan kesihatan negara sebagai ‘serba kekurangan’ adalah ‘pernyataan yang tidak tepat dan langsung tidak benar sama sekali’.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata demikian sebagai mengulas satu artikel yang bertajuk ‘The scientist-gardener who is harnessing tobacco’s power to heal’, yang memetik kenyataan seorang pakar imunulogi molekul berpangkalan di London, Audrey Teh.

Audrey mendakwa Malaysia tidak mempunyai sistem rawatan kesihatan negara dan “banyak keluarga yang ‘dimufliskan’ oleh bil perubatan yang tinggi”.

Dr Noor Hisham berkata, Malaysia mencapai perakuan Liputan Kesihatan Universal (UCH-universal health coverage) pada tahun 1990 menerusi peruntukan awam yang dibiayai cukai perkhidmatan rawatan kesihatan.

Menurutnya Malaysia menyediakan rawatan kesihatan bersubsidi tinggi bagi semua penduduk menerusi rangkaian besar hospital dan kliniknya.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata, perkhidmatan kesihatan di Malaysia menyeluruh meliputi promosi kesihatan, pencegahan penyakit, perawatan dan rawatan pemulihan.

“Semua penduduk di Malaysia boleh mendapat akses kepada semua perkhidmatan ini dengan bayaran yang minimum, manakala perkhidmatan bagi penduduk yang yang miskin, kurang upaya dan warga emas, disediakan secara percuma.

“Ini mewujudkan jaringan keselamatan yang kukuh, memastikan bahawa tiada sesiapa yang dinafikan akses kepada rawatan kesihatan yang diperlukan, tanpa mengira keupayaan untuk membayarnya,” katanya seperti dilapor Bernama.

Dr Noor Hisham berkata, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) juga terus memperakui bahawa Malaysia menyediakan perkhidmatan rawatan kesihatan yang berkualiti berdasarkan kepada sistem rawatan kesihatan yang baik, dan tenaga kerja yang terlatih.

“Dengan perkhidmatan kesihatan awam yang disubsidi, kerajaan mengutip bayaran pengguna yang amat minimum,

“Dalam pelbagai aspek, peruntukan rawatan kesihatan awam, yang secara praktikalnya adalah percuma buat semua, dan dari satu sudut adalah menyamai dengan Perkhidmatan Kesihatan United Kingdom,” tambahnya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights