BEKAS Ahli Majlis Kerja Tertinggi Umno, Datuk Lokman Noor Adam yang ditahan mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan semalam, dibebaskan dengan jaminan polis.
Sejurus dibebaskan petang tadi, Lokman mempersoalkan motif penahanannya oleh pihak polis, susulan satu video kenyataannya berkaitan Belanjawan 2021 dimuat naik di media sosial miliknya pada 28 Oktober lalu.
“Dalam video itu, saya cakap negara kita ada undang-undang, (jadi) tak boleh ikut undang-undang rimba,” katanya menerusi video dimuat naik di Facebook (FB) miliknya malam ini.
Petang tadi, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Huzir Mohamed, berkata Lokman disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana penggunaan tidak wajar kemudahan rangkaian.
Selain itu, polis turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 14 Akta Kesalahan Kesalahan Kecil 1955 kerana menggunakan perkataan kurang sopan.
“Siasatan telah dimulakan ke atas video yang dimuat naik pemilik Facebook Lokman Noor Adam kerana mempunyai unsur ugutan jenayah.
“Selain menggunakan perkataan jelik sifatnya terhadap kepimpinan Perdana Menteri,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini. – Malaysiapost