Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) atau KWAP melantik Nik Amlizan Mohamed sebagai Ketua Pegawai Eksekutifnya (CEO) yang baharu, berkuat kuasa hari ini.
Bekas ketua eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) itu menggantikan Syed Hamadah Syed Othman yang penggal dua tahunnya berakhir 31 Oktober lalu.
Nik Amlizan pernah berkhidmat sebagai ketua pegawai pelaburan KWAP, beliau menyertai KWAP pada 2007 sebagai Ketua Ekuiti dan kemudian menjadi Pengarah Kanan, Ekuiti pada Februari 2014.
Beliau juga adalah ahli Lembaga Pengarah Prima Ekuiti (UK) Limited, anak syarikat milik penuh KWAP dan ahli Jawatankuasa Pelaburan Valuecap Sdn Bhd, i-VCAP Management Sdn Bhd dan Metropolitan Uxbridge Limited di United Kingdom.
Nik Amlizan mempunyai pengalaman lebih dari 20 tahun dalam perkhidmatan kewangan dan dana pencen.
Sebelum menyertai dengan KWAP, beliau adalah Pengurus Besar dan Ketua Ekuiti (Etika / Syariah) di RHB Asset Management Sdn Bhd dan Pengurus Portfolio Kanan serta Ketua Penyelidikan Pelaburan di Mayban Investment Berhad.
Beliau berkelulusan Ijazah Sarjana Muda dalam Ekonomi dari Kolej Claremont McKenna di Amerika Syarikat.
-Malaysiapost