PERSATUAN Peguam-Peguam Muslim Malaysia (PPMM) akan memohon kebenaran mencelah berhubung Saman Pemula difailkan peguam, Syed Iskandar bin Syed Jaafar terhadap Kerajaan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Saman Pemula itu antara lain sama ada Yang Di Pertuan Agong mempunyai budi bicara penuh tidak mengisytiharkan darurat walaupun setelah dinasihati Perdana Menteri atau Jemaah Menteri Persekutuan.
Presiden Persatuan PPMM, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar berkata sebagai sebuah pertubuhan dianggotai pengamal undang-undang, PPMM terpanggil untuk turut serta memberi pandangan dan hujah.
Berikutan itu, katanya, pihaknya telah melantik Tetuan Amelda Fuad Abi & Aidil untuk memohon kebenaran mencelah di dalam guaman tersebut.
“Oleh kerana isu Perlembagaan ini yang secara langsung berkait dengan kedudukan Raja-Raja Melayu, PPMM yang memperjuang keluhuran Perlembagaan dan kedaulatan Undang-Undang berpendapat PPMM mempunyai kepentingan atau locus untuk mencelah di dalam guaman ini.
“Khususnya dalam perkara berkaitan dengan Raja-Raja Melayu dan agama Islam.
“Setelah permohonan difailkan, mahkamah akan mendengar permohonan tersebut dan membuat keputusan sama ada membenar atau tidak untuk PPMM mencelah dan seterusnya sama ada PPMM boleh berpartisipasi di dalam guaman tersebut,” katanya.
Zainul Rijal berkata, guaman tersebut memberi impak besar kepada kedudukan Yang Di Pertuan Agong di sisi Perlembagaan Persekutuan khususnya berkaitan keupayaan untuk menolak nasihat Perdana Menteri berdasarkan Perkara 150.
Selain sama ada tindakan Seri Paduka Baginda dalam kapasiti rasmi baginda boleh dicabar di mahkamah atau tidak.
“Seperkara lagi yang tidak kurang penting ialah keupayaan Parlimen membuat undang-undang mengeluarkan kuasa mahkamah untuk meneliti keputusan kerajaan berkaitan dengan proklamasi darurat.
“Hal ini akan menjelaskan lagi konsep pemisahan kuasa antara eksekutif, legislatif dan kehakiman yang mana uniknya di Malaysia, Yang Di Pertuan Agong juga berfungsi sebagai salah satu elemen tunjang bagi semak dan imbang di dalam konsep pemisahan kuasa di Malaysia.
“Yang Di Pertuan Agong pula telah mengambil inisiatif aktif berbincang isu yang melibatkan negara ini dengan baginda Raja-Raja Melayu yang lain,” katanya.