Sidang Dewan Rakyat ditamatkan awal kerana Covid-19

Sidang Dewan Rakyat ditamatkan awal kerana Covid-19

Muhammad Mustakim Ramli

SESI persidangan Dewan Rakyat hari ini akan ditamatkan awal pada jam 1 tengah hari susulan penularan Covid-19 dalam kalangan kakitangan Dewan Negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan, berkata langkah itu juga dibuat berdasarkan nasihat wakil Kementerian Kesihatan.

Ia juga mendapat persetujuan ketua whip semua parti menerusi mesyuarat tergempar dengan dipengerusikan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, pagi tadi.

Ahli Parlimen Kota Bharu itu berkata, langkah itu dibuat berdasarkan Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat 12 (1).

“Mesyuarat ambil satu ketetapan norma baharu berhubung persidangan berdasarkan faktor berkenaan dengan syarat apa-apa yang dilakukan tidak jejas hak Ahli Parlimen untuk bertanya dan berbahas,” katanya di Parlimen hari ini.

Persidangan hari pertama Dewan Rakyat bagi sesi Mesyuarat Ketiga Penggal Ketiga Parlimen ke-14 bermula hari ini akan menjawab banyak persoalan mengenai Covid-19 dan usaha kerajaan dalam menanganinya, termasuk dalam hal berkenaan pilihan raya.

Berdasarkan Aturan Urusan Mesyuarat Dewan Rakyat, hampir majoriti soalan dalam turutan awal pada sesi Pertanyaan-pertanyaan Bagi Jawab Lisan adalah berkenaan Covid-19. – Malaysiapost

foto : Bernama