AHLI Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz mempertahankan menteri dari PAS yang tidak memakai pelitup muka di tempat awam.
Nik Abduh berkata, beliau menerima pertanyaan kenapa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali tidak memakai pelitup muka hingga ‘dihentam’ di ruang maya.
“Saya jawab, baguslah beliau tak pakai. Beliau tunjukkan kita dan bezakan tempat sesak yang wajib pakai dari tempat tidak sesak yang tak wajib pakai pelitup muka.
“Usah terpengaruh dengan bebudak (budak-budak) PH yang secara terancang viralkan gambar-gambar YB Menteri yang tak pakai pelitup muka. Itu semua aktiviti pembodohan terhadap minda rakyat.
“Puji dan kritik hanya benar dan berpahala pada perkara yang benar sahaja. Ambillah ingatan agama bahawa fitnah dan sebaran berita palsu berleluasa di akhir zaman,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Sebelum ini, tular beberapa keping gambar Khairuddin tidak memakai pelitup muka sebagai mematuhi SOP di tempat awam sehingga menimbulkan kemarahan netizen. – Malaysiapost