Ah long tampal gambar peminjam untuk kutip hutang

SINDIKET pinjaman wang haram atau ah long yang diberkas Polis Johor hari ini, bukan sahaja menyimbah cat merah, malah menampal gambar muka sekitar rumah peminjam.

Sekiranya mangsa masih lagi tidak membayar, sindiket ini akan membakar bahagian pintu kediaman mangsa malah turut bertindak mengunci pintu pagar kediaman.

Modus operandi itu dikesan polis setelah mereka ditahan menerusi dua serbuan berasingan di Apartmen Impian Senibong, Johor Bahru.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, berkata kesemua suspek ditangkap adalah merupakan warga tempatan yang berusia antara 21 hingga 25 tahun.

Katanya, serbuan bermula jam 7.45 pagi itu dijalankan sepasukan tiga pegawai dan 12 anggota daripada Bahagian Siasatan Jenayah.

“Dalam serbuan pertama, kita menahan seramai tiga suspek lelaki selain turut merampas wang tunai berjumlah RM9,000, nombor pendaftaran kenderaan palsu, tong cat, buku nota hutang dan simkad nombor Singapura.

“Sementara itu, dalam serbuan kedua pula, seramai empat lelaki ditahan. Turut dirampas wang tunai RM3,000, risalah iklan, kad nama, cat merah dan telefon bimbit,” katanya seperti dilapor Utusan Malaysia.

Ayob Khan turut berkata, sindiket berkenaan dipercayai mula bergiat aktif dengan kegiatan itu di sekitar bandar raya ini sejak tahun lalu.

“Berdasarkan siasatan awal, kesemua suspek ditahan menerima gaji bulanan berjumlah RM2,500 untuk menjalankan kerja-kerja ah long, termasuk melakukan ugutan terhadap mangsa.

“Ini adalah operasi ketiga yang dilakukan melibatkan sindiket ah long iaitu sejak Januari, seramai 49 suspek telah ditahan dan 54 kertas siasatan dibuka dengan 27 daripadanya mereka telah dikenakan tindakan undang-undang,” katanya. -Malaysiapost

foto kredit : FB Polis Johor

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights