Bekas suami Vida rindu Cik B, Kacak

BEKAS suami usahawan kosmetik, Datuk Seri Dr Hasmiza Othman atau Datuk Seri Vida mendakwa dihalang berjumpa dua anaknya, Edlynn Zamilleen atau Cik B dan Muhammad Eric Zaquan atau lebih dikenali sebagai Kacak.

Mohd Amin Yasin mendakwa, kali terakhir bertemu dua anaknya itu pada Mei 2018 di ibu pejabat Vida Beauty Sdn Bhd di Ipoh, hanya selama 15 minit.

Lelaki berusia 42 tahun itu mengakui amat merindui kedua-dua anaknya yang berusia 15 dan 13 tahun itu dan hanya mengetahui perkembangan terkini mereka melalui media sosial dan televisyen.

“Sebagai bapa, saya amat rindukan mereka. Saya tidak mahu hak penjagaan. Cukup sekadar dibenarkan untuk bertemu mereka berdua dalam tempoh yang singkat.

“Sebelum ini, saya ada menghubungi Cik B dan Kacak, namun tidak berjawab. Saya tidak pasti sama ada mereka sudah menukar nombor telefon atau sengaja tidak mahu mengangkat panggilan,” katanya ditemui media di Kompleks Mahkamah Syariah, Kota Bharu.

Susulan itu, Mohd Amin selaku plaintif memfailkan tuntutan hadhanah iaitu hak lawatan,bermesra dan dan bermalam untuk bertemu kedua-dua anaknya itu daripada Vida sebagai defendan dua minggu lalu di Mahkamah Syariah.

Mohd Amin diwakili oleh Peguam Mohd. Zaki Zainal Abidin dan Nik Mohamad Amin Nik Abdullah.

Bagaimanapun, Vida, 49, tidak hadir dalam prosiding hari ini.

Mohd Amin dalam linangan air mata turut mendakwa, sebelum ini dia hanya bertemu kedua-dua anaknya itu di kawasan pagar rumah Datuk Seri Vida di Meru, Ipoh atau di pusat beli-belah beberapa bulan sekali jika rindukan Cik B dan Kacak.

“Dalam pengetahuan saya, mereka masih mengenali saya. Dalam pertemuan sebelum ini, mereka akan memeluk saya dan masih mengenali bapa kandung mereka.

“Itu sudah cukup buat saya. Bertemu dengan mereka sudah membuatkan saya gembira. Jika teringatkan mereka, hanya linangan air mata dan kenangan-kenangan lama kami bersama sebagai pengubat rindu,” katanya.

Mohd Amin berkahwin dengan Vida pada 2000 dan mereka dikurniakan empat cahaya mata iaitu Muhammad Eddie Zuhdie, Muhammad Edrie Zikrie, Edlynn Zamilleen dan Muhammad Eric Zaquan.

Bagaimanapun, Muhammad Eddie Zuhdie,11, dan Muhammad Edrie Zikrie,10, meninggal dunia dalam kebakaran di rumah Vida di Meru Hill, Ipoh tiga hari sebelum menyambut Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2013.

Mohd Amin sah bercerai dengan usahawan kosmetik itu pada tahun 2008 iaitu kira-kira lapan tahun mendirikan rumah tangga.

Sementara itu, Hakim Mahkamah Tinggi Syarie, Datuk Abu Bakar Abdullah Kutty dalam prosiding pengurusan kes menetapkan 25 November ini sebagai sebutan semula kes.

Menurut Abu Bakar, beliau tidak akan membuat sebarang keputusan hari ini sehingga mendengar dan dihadiri kedua-dua belah pihak.

Tambahnya, beliau juga mengarahkan kedua-dua anak plaintif dan defendan turut hadir dalam prosiding tersebut. – Malaysiapos

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights