BARISAN Nasional (BN) menolak konsep perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence & supply agreement) yang dicadangkan pembangkang.
Ia bagi memberi peruntukan kepada pembangkang sebagai balasan menyokong Belanjawan 2021 kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang akan dibentangkan di Dewan Rakyat, Jumaat ini.
Ahli Majlis Tertinggi Umno, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman, berkata ia dibincangkan dalam mesyuarat Ahli Parlimen BN di bangunan UMNO sebentar tadi.
“Kami tidak setuju, kenapa perlu beri pada mereka. Itu akan ‘membunuh’ kami,” katanya.
Beliau juga berkata BN telah membuat ketetapan untuk menyokong belanjawan yang akan dibentangkan kali pertama oleh kerajaan PN sejak mengambil alih kerajaan daripada Pakatan Harapan (PH) Februari lalu.
Tajuddin berkata, ketika PH menjadi kerajaan selama 22 bulan, mereka juga tidak pernah mempedulikan pembangkang.
Sejak seminggu lalu, beberapa pemimpin pembangkang menggesa Perdana Menteri mengadakan perbincangan berhubung Belanjawan 2021.
Antaranya, veteran DAP, Lim Kit Siang yang menyarankan perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence & supply agreement) untuk membolehkan pembangkang menyokong Belanjawan 2021.
Setiausaha Agung BN, Tan Sri Annuar Musa pula berkata isu itu tidak dibangkitkan secara serius dalam pertemuan Ahli Parlimen BN tersebut.
“Ia dibincangkan secara umum bagi membolehkan Ahli Parlimen BN memahami apa itu konsep tersebut,” katanya. – Malaysiapost