Belanjawan 2021: Puteri Umno cadang RM1,000 one-off kepada frontliners

Belanjawan 2021: Puteri Umno cadang RM1,000 one-off kepada frontliners

BAYARAN RM1,000 secara one-off kepada petugas barisan hadapan antara cadangan Puteri Umno kepada kerajaan sempena Belanjawan 2021 yang akan dibentangkan, Jumaat ini.

Ketuanya, Datuk Zahida Zarik Khan berkata ia bagi menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), polis, tentera serta semua penjawat awam yang terlibat memerangi penularan Covid-19.

“Jasa dan pengorbanan frontliners amat besar dalam usaha melawan penularan wabak covid 19 dalam negara.

“Harap ada berita gembira kepada 1.6 juta penjawat awam yang akan diumum oleh Menteri Kewangan Jumaat nanti,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Dalam hantaran berasingan, Zahida berkata inisiatif pemulihan ekonomi akan menjadi tidak relevan jika pandemik Covid 19 tidak ditangani dengan baik.

“Tidak logik jika wang berbillion ringgit dicurahkan tetapi negara terpaksa melalui ‘lockdown’ berterusan.

“Kerajaan harus memperkasakan KKM dengan penambahan jumlah kakitangan barisan depan melalui tambahan kakitangan sementara bagi negeri yang teruk berdepan dengan pandemik ini, saperti Sabah.

“Sekarang ini banyak kakitangan KKM di negeri-negeri hijau seperti Kelantan telah dihantar ke Sabah untuk memerangi pandemik ini. Ini hanya langkah sementara,” katanya.

Beliau juga mengesyorkan peruntukan kepada KKM dalam Belanjawan kali ini ditambah lebih daripada biasa, mungkin 20 hingga 30 peratus untuk penambahan kakitangan dan pembelian peralatan.

“Imbuhan dan pampasan yang setimpal dan luar biasa diberikan kepada mana-mana petugas barisan hadapan kemalangan, terjangkit atau kehilangan jiwa ketika menjalankan tugas,” katanya. – Malaysiapost