Kadar OPR kekal 1.75 peratus

JAWATANKUASA Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75 peratus.

BNM dalam kenyataannya berkata, ekonomi global terus pulih dipacu oleh peningkatan dalam aktiviti perkilangan dan eksport.

Ia berkata, petunjuk terkini menunjukkan aktiviti ekonomi meningkat dalam kebanyakan ekonomi maju dan serantau, dengan kemajuan momentum paling ketara di China.

Namun begitu, bank pusat itu berkata, peningkatan semula kes Covid-19 menyebabkan beberapa ekonomi utama memperkenalkan semula langkah membendung penularan pandemik walaupun kurang ketat berbanding pelaksanaan sebelum ini.

Keadaan itu, jelasnya, mencadangkan pemulihan ekonomi global tidak menentu dalam jangka jangka masa terdekat.

“Keadaan kewangan telah bertambah baik, walaupun penghindaran risiko tetap meningkat.

“Prospek keseluruhan tetap tertakluk kepada risiko penurunan, terutamanya disebabkan oleh risiko peningkatan semula jangkitan Covid-19 selanjutnya yang boleh menyebabkan keadaan perniagaan, pekerjaan dan pendapatan yang lebih lemah,” katanya.

Setiap dua bulan, kadar OPR boleh diturunkan, dinaikkan atau dikekalkan oleh Bank Negara.

Pada 10 September lalu, MPC Bank Negara memutuskan untuk mengekalkan OPR pada 1.75 peratus, iaitu terendah sejak dilaksanakan pada 2004.
-Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights