Muhammad Mustakim Ramli
KEJADIAN pembunuhan menyayat hati Siti Nur Surya Ismail di Kampung Lubok Batu, Telemong, Terengganu menyentuh hati pendakwah terkenal, Ebit Liew yang mengunjungi waris mangsa, hari ini.
Ebit Liew dalam hantaran di laman Facebook berkata, beliau pilu dengan pemergian gadis berusia 19 tahun itu yang dianggapnya anak yang baik dan menitik beratkan keluarga.
“Sampai saja rumah mereka. Ayahnya terus datang peluk saya, menangis. Terharu ustaz hadir ke sini. Saya pun tak tahan rasa sedih. Ya Allah.
“Saya tak dapat lupa ustaz. Air mata asyik mengalir saja cerita tentang arwah. Arwah anak baik. Beliau selepas SPM sentiasa jaga emaknya yang sakit kanser. Boleh urus seorang diri dibantu adik perempuannya tingkatan tiga.
“Sanggup korban belajar sebab nak jaga emak dekat rumah. Mandikan dan uruskan emaknya sentiasa. Emaknya kenal saya. Katanya selalu tengok saya walau dalam keadaan tak sihat. Beratnya ujian mereka,” katanya.
Dalam kejadian jam 2.30 petang Ahad lalu, Siti Surya ditemui adik perempuannya, Siti Nur Syuhada, 15, dalam keadaan berlumuran darah dan putus pergelangan tangan di ruang tamu di rumah mereka di Kampung Lubok Batu, Telemong, Hulu Terengganu.
Susulan itu, polis menahan suspek berusia 19 tahun yang juga rakan mangsa untuk membantu siasatan.
Suspek yang masih belajar di Tingkatan Enam yang dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu direman selama tujuh hari sehingga Isnin depan. -Malaysiapost