Muhammad Mustakim Ramli
PERSATUAN Bola Sepak Kedah (KFA) menerima 956 penyertaaan bagi penjenamaan logo Kedah Darul Aman FC selepas tarikh akhir penyertaan pada 31 Oktober lalu.
Menerusi perkongsian di Facebook FA Kedah, Media KFA telah memuatnaik logo penyertaan secara berkala dalam tempoh seminggu ini.

“Ini bertujuan untuk menghargai semua peserta yang akan disenarai pendek dalam masa terdekat oleh panel pemilih.
“Media KFA memerlukan tempoh yang sewajarnya dalam menilai setiap penyertaan dan memilih logo untuk dipaparkan kepada umum sebelum panel menyenarai pendek untuk ke fasa seterusnya.
“Antara kriteria yang dinilai adalah kesenian sesuatu logo dan portfolio penjenamaan yang menarik untuk dipertimbangkan,” katanya.
Sehingga jam 7 malam ini, sebanyak 116 logo sudah dimuatnaik ke Facebook FA Kedah.

Sebelum ini media melaporkan, peminat pasukan Hijau Kuning ‘berang’ dengan logo tular pasukan itu selepas Presiden KFA, Muhammad Sanusi Md. Nor mengumumkan penjenamaan semula skuad Lang Merah selepas proses penswastaan baru-baru ini.
Susulan itu, pada 21 Oktober lalu, KFA membuat pertandingan mencipta logo Kedah Darul Aman FC dengan menawarkan hadiah wang tunai sebanyak RM5,000. – Malaysiapost