JAWATANKUASA Kira-kira Wang Negara (PAC) dijangka membentangkan tiga laporan dalam tempoh dua minggu akan datang termasuk isu Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
Pengerusinya, Wong Kah Woh, berkata laporan itu adalah isu Sekolah Sukan Malaysia Perlis, Projek Sistem Kutipan Caj Jalan (RC) dan Rekod Kemasukan Kenderaan Asing (VEP) serta Penjualan Tanah Milik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).
“Sejurus pelantikan 12 ahli PAC oleh Parlimen, PAC mengadakan taklimat oleh Sekretariat PAC berhubung prosedur, tadbir urus serta punca kuasa jawatankuasa dalam mengadakan mesyuarat.
“Dalam beberapa minggu akan datang, jawatankuasa ini akan memberikan keutamaan kepada kes yang tertangguh sebelum ini dan berhasrat membentangkan sekurang-kurangnya tiga laporan dalam dua minggu akan datang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Kah Woh berkata, PAC akan mengambil langkah menyiapkan laporan yang belum dimuktamadkan antaranya, isu Kawalan Pekerja Asing dan Perkhidmatan Pendidikan Malaysia Global (EMGS).
PAC juga berhasrat memanggil semula Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Mohamad serta Pengerusi Jawatankuasa Siasatan Tadbir Urus, Perolehan dan Kewangan Kerajaan (JKSTUPKK), Tan Sri Ambrin Buang.
“Mereka dipanggil semula untuk memberikan taklimat kepada ahli PAC berkenaan isu yang dicadangkan oleh PAC sebelum ini, iaitu isu Pengurusan Dana Mudahcara Kerjasama Awam Swasta (UKAS), Perumahan Generasi Baharu FELDA, Pelan Pemulihan Syarikat Penerbangan MAS, Pertukaran Tanah Kementerian Pertahanan, 1BestariNet dan Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES).
“Ini membolehkan ahli PAC khasnya ahli baharu mendapat penjelasan lanjut sebelum PAC membuat keputusan ke atas isu berkenaan,” katanya.
Selain itu, beliau berkata, PAC akan mendengar taklimat Ketua Audit Negara mengenai Laporan Audit Negara berhubung Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2019 apabila laporan berkenaan dibentangkan di Dewan Rakyat esok.
-Malaysiapost