Muhammad Mustakim Ramli
PEKERJA Bangladesh tidak dibenarkan untuk kembali ke Malaysia buat masa ini, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata, dasar kerajaan ketika ini masih kekal iaitu tidak membuka pintu sempadan kepada warga asing termasuklah pekerja asing.
“Bangladesh adalah salah satu daripada 23 negara yang kita perketatkan kemasukan kerana antara negara yang berisiko tinggi.
“Walaupun ramai ingin balik ke sini tetapi setakat ini masih tidak dibenarkan. Namun kuasa menentukkannya di bawah Jabatan Imigresen.
“Saya yakin Jabatan Imigresen belum lagi menukar polisi ini atau mencadangkan kepada kerajaan untuk menukar kelonggaran ini,” katanya dalam sidang media harian, hari ini
Beliau berkata demikian selepas ditanya langkah kerajaan susulan ribuan pekerja warga Bangladesh dari Malaysia yang terkandas di negara asal akibat Covid-19 mengadakan tunjuk perasaan di hadapan Kementerian Luar di Dhaka menuntut bantuan kerajaan bagi kembali bekerja di Malaysia
Media melaporkan, mereka pulang ke negara asal untuk bercuti dan tidak dapat kembali ke Malaysia akibat pendemik virus yang memaksa kebanyakan negara menutup sempadannya.
Visa sebahagian besar pekerja terbabit sudah tamat tempoh, menyebabkan mereka menghadapi kesukaran untuk kembali ke Malaysia.
Dianggarkan terdapat lebih 25,000 pekerja Bangladesh dari Malaysia kini terkandas di negara asal sejak penularan pandemik Covid-19. -Malaysiapost