Belanjawan 2021: Maritim Malaysia, PDRM perlu tambah aset tangani migran

AGENSI Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memerlukan penambahan aset untuk menangani isu migran dengan lebih berkesan dalam Belanjawan 2021.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hamzah Zainudin, berkata ini berikutan pelbagai kaedah dan cara yang digunakan tekong untuk membawa masuk migran ke dalam negara melalui lorong tikus.

“Oleh itu, kerajaan diminta memikir semula aset di bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN). Kita ingin untuk menambah bot dan kapal yang kita ada, begitu juga di darat kerana kita tahu tekong-tekong ini sudah bersedia dengan kenderaan yang kadangkala lebih canggih daripada kita.

“Bukan hanya dengan kenderaan baharu, kita juga ingin menggunakan alat teknologi terkini seperti dron dan radar tertentu untuk mengetahui kawasan lorong tikus digunakan oleh mereka,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Selain itu, beliau berkata bagi menangani isu pemalsuan kad pengenalan dan dokumen perjalanan dalam kalangan warga asing, kementerian akan menambah baik sistem di bawah Jabatan Imigresen dan Jabatan Pendaftaran Negara.

Hamzah berkata, sistem imigresen yang canggih memerlukan sistem pendaftaran yang juga canggih.

“Sekarang ini permohonanan seperti visa semuanya melalui dalam talian dan kita memerlukan sistem yang lebih canggih supaya dapat menentukan orang yang memasuki negara adalah orang yang mempunyai passport yang sah atau tidak.

“Jika kita dapat menggunakan teknologi cap jari sebelum ini, sudah tentu ia boleh dilakukan melalui ‘Digital ID’ supaya kita dapat memastikan tidak berlaku lagi pemalsuan,” katanya.

Beliau berkata, setelah hampir dua tahun perancangan untuk menambah baik sistem ini, kementeriannya akan mengumumkan syarikat yang berjaya mendapatkan tender itu tidak lama lagi.

Katanya, dengan kapasiti penjara di Malaysia yang telah melebihi 34.94 peratus iaitu 70,976 orang, kementerian itu perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan memikirkan cara untuk membendung virus tersebut. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights