BELUM ada keperluan untuk perintah berkurung atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan di Sabah dan beberapa negeri zon merah buat masa ini, kata Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof.
Menteri di Jabatan Perdana itu berkata, mekanisme pengurusan krisis dilaksanakan kerajaan di kawasan berkenaan dilihat berjaya mengawal penularan pandemik itu.
Katanya, pengumuman Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di negeri terbabit juga berjaya mengelak hospital dan klinik terbeban dengan jumlah kes tinggi.
“Di Sabah, kerajaan melaksanakan PKPB di seluruh negeri itu bermula 13 hingga 26 Oktober, dan dilanjutkan hingga 9 November depan.
“Langkah ini bukan saja membolehkan Kementerian Kesihatan (KKM) meneruskan saringan dan pengesanan kontak rapat, malah aktiviti ekonomi terus berjalan dan diseimbangkan dengan langkah untuk melindungi nyawa.
“Perintah berkurung adalah pilihan yang masih boleh dipertimbangkan, tetapi buat masa ini, belum ada keperluan untuk ia dilaksanakan dalam langkah pemulihan dan strategi keluar daripada PKPP yang sedang berjalan,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri (MQT) di Parlimen, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim (BN-Arau) yang bertanya mengapa kerajaan belum melaksanakan PKP atau perintah berkurung memandangkan peningkatan kes Covid-19 yang kritikal di Sabah dan beberapa kawasan di Semenanjung. – Malaysiapost