Nurul Huda Abhar
PELAKON yang kini bergiat aktif dalam politik, Dira Abu Zahar dianugerahkan Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang membawa gelaran Datuk.
Dira atau nama sebenar Khaidiriah Datuk Seri Abu Zahar menerima penganugerahan tersebut sempena sambutan ulang tahun kelahiran ke-71 Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tan Sri Mohd Ali Mohd Rustam.
Perkongsian seorang jurusolek yang dikenali dengan nama Jijiezainal di laman Instagram (IG) memuat naik catatan dia ditugaskan menyolek Dira, 36, pada istiadat penganugerahan itu.
“Pagi ni ditugaskan utk menatarias kesayangan saya Khaidira Dato Sri Abu Zahar sempena istiadat penganugerahan darjah, bintang dan pingat kebesaran negeri Melaka 2020.
“Tahniah @diraabuzahar di atas gelaran Datuk (D.P.S.M). Kami semua turut berbangga di atas pencapaian Datuk Dira terhadap perhidmatan dan jasa kepada negeri Melaka.

“Oleh yang demikian, ‘glam squad’ hari ini diterbangkan khas dari Kuala Lumpur ke negeri Melaka,” katanya.
Sementara itu, pereka fesyen terkenal, Hatta Dolmat juga memuatnaik ucapan tahniah kepada pelakon itu dan turut mereka khas pakaian Dira untuk menghadiri istiadat penganugerahan berkenaan.
Beliau turut memuatnaik foto Dira sewaktu menerima Darjah Pangkuan Seri Melaka (DPSM) yang disampaikan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka.
“Tahniah Datuk @diraabuzahar moga terus berbakti kepada rakyat negeri Melaka,” katanya.
Dalam bidang hiburan, nama Dira terkenal apabila pernah menjadi pengacara rancangan televisyen Fulus Mania, Jom Ronda bersama Proton dan Melodi.
Antara drama lakonannya termasuk Rona Roni Makaroni, Merah Puteh, Seratus Harijadi dan pernah mengarahkan pementasan teater Mencari Sumaiyah yang memulakan pementasannya di Istana Budaya pada 2016.
Beliau mengambil keputusan menyertai bidang politik mengikut jejak langkah bapanya dan menyerahkan borang keahlian Puteri Umno pada Ogos 2013.

Kini, beliau yang berkelulusan Ijazah Sarjana Muda Undang-Undang dari Universiti Teknologi Mara (UiTM) memegang jawatan Ketua Puteri Umno Bahagian Jasin dan menang tanpa bertanding jawatan itu untuk penggal 2018-2021. – Malaysiapost