Guna pendekatan sesuai tegur jemaah lupa bawa sejadah, pelitup muka

Guna pendekatan sesuai tegur jemaah lupa bawa sejadah, pelitup muka

JAWATAN kuasa masjid dan surau diminta lebih mengutamakan pendekatan yang sesuai ketika menegur jemaah yang terlupa membawa sejadah atau pelitup muka.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri berkata beliau percaya hal sebegitu boleh diselesaikan dengan baik.

“Mungkin pihak Jawatankuasa Masjid dan Surau boleh sediakan sejadah dan pelitup muka bagi yang terlupa untuk membawanya.

“Kadang-kadang, kita tergesa-tergesa, memang biasa tertinggal barang yang penting. Besar pahalanya bagi mereka yang memudahkan urusan umat Islam lain untuk beribadah,” katanya.

Di samping itu, katanya, pihak Jawatankuasa Masjid dan Surau perlu sentiasa mengingatkan anak kariah supaya mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

“Selain itu, saya juga ingin mencadangkan masjid dan surau di zon hijau dan kuning, menyediakan ruang solat khusus bagi penghantar makanan dan pemandu e-hailing, jua mereka yang bermusafir untuk menunaikan solat,” katanya.

Berkenan surau di kawasan Rehat dan Rawat (RnR) dan pusat beli-belah di zon hijau dan kuning, katanya, beliau amat memahami keluhan umat Islam yang ingin ia dibuka seperti biasa untuk memudahkan urusan ibadah.

“Justeru, saya mencadangkan kepada pihak pengurusan agar surau-surau ini turut dibuka namun hendaklah mematuhi sepenuhnya SOP yang telah ditetapkan,” katanya. – Malaysiapost

Gambar Hiasan