Madu anak Zahid meninggal dunia

DATUK Nurulhidayah Ahmad Zahid, anak kepada Presiden Umno, kehilangan madunya Datin Bahazanariah Baharudin yang meninggal dunia akibat kanser payu dara, awal pagi ini.

Allahyarham, 50, yang disahkan menghidap kanser tahap empat pada Ogos lalu, menghembuskan nafas terakhir pada jam 4.16 pagi ini di sebuah hospital swasta di Damansara, lapor Astro Awani.

“Saya kehilangan seorang kakak, seorang wanita yang hebat. Saya amat menghargai kejujurannya menerima saya sebagai madu dalam kehidupannya.

“Kejujurannya, pengorbanannya dan kasih sayangnya tiada tolak bandingnya. Saya akan merindui Kak Zana,” kata Nurulhidayah.

Anak perempuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi itu menceritakan bagaimana Allahyarham bersungguh-sungguh memintanya berkahwin dengan suami mereka, Datuk Saiful Nizam Mohd Yusoff.

“Arwah yang beriya-iya minta saya menikahi suaminya kerana beliau mahu memberikan sepenuh perhatian pada kesihatannya sebaik disahkan mengidap kanser payu dara.

“Saya tidak tahu bagaimana lagi mahu gambarkan kehebatan arwah. Pengorbanannya akan saya kenang sehingga ke akhir hayat saya.

“Terima kasih Kak Nana atas segala-galanya. Saya akan bawa kebaikan dan kasih sayang kakak sehingga ke lahad,” katanya.

Nurulhidayah berkata, sebelum ini beliau dan Saiful Nizam yang bergilir-gilir menjaga Bahazanariah semasa arwah menerima rawatan di hospital.

Jenazah Allahyarham Bahazanariah dibawa ke Masjid Al-Mukarramah, Bandar Sri Damansara sebelum dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights