Belanjawan 2021 istimewa, kali pertama kerajaan dengar idea pembangkang

BELANJAWAN 2021 yang akan dibentangkan hari ini disifatkan istimewa kerana pertama kali dalam sejarah pihak kerajaan mengajak, seterusnya mendengar pandangan serta idea dikemukakan pembangkang.

Penganalisis Politik dan Kerajaan/Pembinaan Negara, Dr Al-Azharri Siddiq Kamunri berkata kerajaan telah membuka jalan luas kepada semua pihak daripada pembangkang, sehinggalah rakyat untuk mengemukakan idea dan cadangan dalam Belanjawan 2021.

“Beberapa hari lalu parti-parti pembangkang telah mengeluarkan pandangan kepada Kementerian Kewangan, ini sesuatu yang tak pernah berlaku masa kerajaan lalu.

“Keterbukaan kerajaan ini mesti dilihat sesuatu yang istimewa dan bersifat patriotik yang mana suara pembangkang tidak diketepikan.

“Dengan penglibatan pembangkang dalam bajet kali ini dan kesudian kerajaan mendengar, saya fikir Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin akan dapat input lebih menarik dan gambaran lebih luas untuk kebaikan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemubual dalam program Sudut Pandang bertajuk ‘Belanjawan 2021, Ahli Parlimen kerajaan, pembangkang bersatu? yang disiarkan Malaysiapost, malam tadi.

Mengulas lanjut, Dr Al-Azharri berkata oleh kerana situasi pandemik Covid-19 dijangka berterusan dalam tempoh panjang, maka fokus kerajaan dalam Belanjawan 2021 adalah memastikan supaya ekonomi negara tidak jatuh, jika tidak meningkat.

Mengenai cadangan DAP berkenaan konsep perjanjian keyakinan dan pembekalan (confidence & supply agreement) supaya kerajaan berunding dengan pembangkang, beliau berkata ia bukan sesuatu yang wajib untuk diikut oleh kerajaan.

“Semasa Pakatan Harapan jadi kerajaan juga ini tidak berlaku, begitu juga belanjawan selama 60 tahun oleh kerajaan terdahulu.

“Tetapi kerajaan boleh ambil idea mereka (DAP) untuk perbaiki belanjawan, tapi kalau nak buat satu perjanjian supaya kerajaan terima sebahagian cadangan itu, ia perkara yang bukan institusi.

“Ia tak pernah berlaku tapi boleh diterima, untuk mengikat kerajaan saya fikir ia tidak seharusnya berlaku,” katanya.

Mengenai cadangan pelbagai pihak supaya kerajaan mempertimbangkan pengeluaran caruman daripada Akaun 1 Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), beliau bersetuju dengan mesti bersyarat.

“Tak semua pencarum ada jumlah simpanan yang sama, ada yang banyak simpannya dan ada kurang RM10,000.

“Jadi kerajaan boleh benarkan rakyat keluarkan tapi bersyarat. Contohnya adakah pemohon mempunyai hutang, tanggungan, kos dan sebagainya yang perlu disenaraikan.

“Kalau Akaun 1 cuma ada RM10,000 berapa nak keluarkan? Kerajaan kena fleksibel, begitu juga rakyat, misalnya boleh dikeluarkan secara ansuran,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights