Muhamma Mustakim Ramli
[Belanjawan] KERAJAAN akan meneruskan usaha untuk menyokong pembangunan Bumiputera bagi mengurangkan ketidaksamarataan antara kaum, kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Aziz.
Beliau berkata, bagi tahun 2021, sejumlah RM11.1 bilion disediakan iaitu tambahan RM3.1 bilion berbanding tahun sebelum ini.
Katanya, antaranya, sejumlah RM6.5 bilion diperuntukkan untuk menyediakan akses pendidikan berkualiti kepada institusi Bumiputera seperti MARA dan UiTM bagi menjalankan program khusus termasuklah pendigitalan pembelajaran TVET dan menaik taraf program peringkat sijil ke diploma.
“Bagi melonjak dan memperkasa usahawan Bumiputera, sejumlah RM4.6 bilion disediakan untuk tujuan itu iaitu RM510 juta bagi tujuan pembiayaan kepada PKS dan PKS mikro Bumiputera melalui TEKUN dan PUNB.
“Selain RM800 juta melalui program peningkatan keupayaan oleh Bank Pembangunan Malaysia dan SME Bank serta RM2 bilion diperuntukkan bagi membantu pembiayaan PKS Bumiputera melalui Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan atau SJPP.
“Manakala RM1.3 bilion lagi untuk pelbagai program peningkatan kapasiti termasuk pembangunan profesional, Dana Kemakmuran Bumiputera serta program atau projek khusus untuk Bumiputera,” katanya dalam pembentangan Belanjawan 2021.
Sementara itu, beliau berkata Pelaburan Hartanah Berhad atau PHB telah berjaya membangunkan hospital swasta bernilai RM300 juta di atas tanah rizab Melayu di Sungai Penchala.
“Kerajaan berhasrat untuk terus mengoptimumkan nilai tanah rizab Melayu di kawasan-kawasan strategik.
“Bagi tujuan ini, sejumlah RM750 juta akan disediakan kepada PHB di bawah Rancangan Malaysia Ke 12 bagi meningkatkan nilai pegangan Bumiputera dalam sektor hartanah terutama bagi pembangunan komersial atas tanah rizab Melayu,” katanya. – Malaysiapost