KPM dapat RM50.4 bilion

Fitri Nizam

[Belanjawan] Kementerian Pendidikan (KPM) terus menjadi penerima peruntukan terbesar dengan jumlah RM50.4 bilion atau 15.6 peratus daripada keseluruhan perbelanjaan kerajaan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz, berkata bagi memastikan murid daripada keluarga berpendapatan rendah mendapatkan kandungan khasiat harian demi pertumbuhan fizikal dan mental yang menyeluruh, kerajaan akan menambah baik Rancangan Makanan Tambahan (RMT) dengan penyediaan bekalan susu daripada dua kali seminggu kepada setiap hari persekolahan.

Katanya, bagi menyediakan perkara itu, peruntukan sebanyak RM420 juta akan disediakan dan sebahagian perolehan akan dikhaskan kepada pengeluar susu tempatan.

Selain itu, katanya, bagi memastikan suasana pembelajaran kondusif, RM800 juta disediakan untuk kerja penyelenggaraan dan pembaikan Sekolah Kerajaan dan Sekolah Bantuan Kerajaan.

“Peruntukan ini juga termasuk kerja-kerja menaik taraf dan membina dewan terbuka atau struktur berbumbung bagi menyediakan tempat berhimpun yang selesa dan selamat di sekolah-sekolah kerajaan.

“Selain itu, kos tambahan RM725 juta akan diperuntukkan bagi menaik taraf bangunan serta infrastruktur di 50 sekolah daif.

“Bagi sekolah di luar bandar Sabah dan Sarawak, kerajaan akan melaksanakan 184 projek pembinaan dan pemasangan bekalan air telaga tiub baharu dengan kos keseluruhan projek RM120 juta,” katanya.

Beliau berkata, selain itu, kebajikan murid berkeperluan khas di sekolah turut diberi perhatian, justeru, bagi memperkasa pendidikan khas, RM45 juta akan disediakan untuk tujuan ini.

“Bagi peringkat pengajian tinggi pula, sebanyak RM14.4 bilion diperuntukkan kepada Kementerian Pengajian Tinggi.

“Ini termasuk, RM50 juta disediakan bagi projek membaik pulih infrastruktur dan peralatan usang di universiti-universiti awam,” katanya.

Tengku Zafrul berkata, bagi memastikan kesalinghubungan internet di institut pengajian tinggi, kerajaan memperuntukkan RM50 juta untuk menaik taraf talian akses Malaysian Research & Education Network atau MYREN kepada 500Mbps hingga 10Gbps.

“Selanjutnya, untuk memastikan pelajar IPT yang mendapat pinjaman PTPTN dapat mengikuti pembelajaran secara dalam talian, kerajaan bekerjasama dengan BSN akan menyediakan RM100 juta bagi pembiayaan Skim BSN MyRinggit-i COMSIS iaitu skim pinjaman komputer riba,” katanya.

Beliau berkata, bagi terus menggalakkan ibu bapa menyimpan untuk membiayai kos pendidikan tinggi anak-anak mereka, pelepasan cukai sehingga RM8,000 bagi simpanan bersih Skim Simpanan Pendidikan Nasional dilanjutkan sehingga tahun taksiran 2022. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights