Pengeluaran Akaun 1 KWSP sehingga RM6,000

Fitri Nizam

[Belanjawan] KERAJAAN mengumumkan kemudahan pengeluaran Akaun 1 Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) secara bersasar sebanyak RM500 sebulan dengan jumlah pengeluaran sehingga RM6,000 untuk 12 bulan.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata ini adalah bagi membantu pencarum yang kehilangan pekerjaan dan dijangka meringankan beban kewangan kepada 600,000 ahli yang terjejas.

Katanya, mengambil kira kedua-dua inisiatif i-Lestasi serta kemudahan pengeluaran Akaun 1 ini, jumlah keseluruhan pengeluaran tunai adalah sehingga RM12,000.

“Diunjurkan keseluruhan bayaran bagi pengeluaran Akaun 1 akan melibatkan RM4 bilion. Ahli yang layak boleh memohon mulai Januari 2021,” katanya.

Tengku Zafrul turut mengumumkan kadar caruman minimum KWSP pekerja dikurangkan daripada 11 peratus kepada sembilan peratus mulai Januari depan untuk tempoh 12 bulan.

Katanya, inisiatif itu sekali gus meningkatkan pendapatan boleh guna atau take-home pay.

“Ini akan memanfaatkan pencarum KWSP dengan nilai inisiatif sehingga RM9.3 bilion,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights