Fitri Nizam
[Belanjawan] KERAJAAN akan mengenakan duti eksais pada kadar ad valorem 10 peratus kepada semua jenis peranti rokok elektronik dan bukan elektronik termasuk vape berkuat kuasa 1 Januari 2021.
Selain itu, cecair rokok elektronik juga akan dikenakan duti eksais pada kadar 40 sen per mililiter.
Mengumumkan perkara itu, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz, berkata pada masa ini, hasil kerajaan adalah sekitar 15 peratus daripada KDNK termasuk hasil berkaitan petroleum sekitar tiga peratus.
Katanya, kerajaan perlu memastikan sumber hasil adalah mampan dan mampu membiayai perbelanjaan terutamanya perbelanjaan mengurus.
“Strategi kutipan hasil akan ditambah baik termasuk membasmi aktiviti penyeludupan terutama barangan berduti tinggi, justeru Multi-Agency Task Force akan diperkasa dengan penyertaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Pusat Pencegahan Jenayah Kewangan Nasional.
“Selain itu, mulai 1 Januari 2021, kerajaan akan melaksanakan langkah-langkah pembekuan pengeluaran lesen import rokok baharu dan memperketat pembaharuan lesen import rokok melalui semakan semula syarat lesen termasuk mengenakan kuota import.
“Selain itu, kerajaan akan mengehadkan aktiviti transhipment rokok kepada pelabuhan tertentu sahaja dan mengenakan cukai dengan kemudahan pulang balik atau drawback ke atas semua rokok import bagi tujuan transhipment dan eksport semula,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga tidak membenarkan aktiviti transhipment dan eksport semula rokok menggunakan bot kumpit dan mengenakan cukai ke atas rokok dan produk tembakau di semua Pulau Bebas Cukai. – Malaysiapost