Belanjawan 2021: Jangan ‘indah khabar dari rupa’ – Putra

Nurul Huda Abhar

PARTI Putra Malaysia berharap Belanjawan 2021 yang dibentangkan semalam, bukan ‘indah khabar dari rupa’ dan tidak mengamalkan kepentingan sesebuah parti dalam perlaksanaannya.

Presidennya, Datuk Dr Ibrahim Ali, berkata beliau terkejut dan bimbang mengenai pendedahan Ketua Audit Negara, Datuk Nik Azman Nik Abd Majid, di mana 59.9 peratus atau RM82.723 bilion dari Terimaan Pinjaman Baharu Kerajaan Persekutuan bagi 2019 digunakan untuk membayar hutang.

Katanya, beliau tidak menyangka hanya 29 peratus sahaja di salurkan untuk pembangunan.

“Rakyat pasti tidak tahu selama ini jika tidak didedahkan oleh Ketua Audit Negara.Kena berhutang untuk bayar hutang. Pelik tapi benar.

“Sepatutnya duit pinjaman diguna untuk pembangunan bagi menjana ekonomi rakyat dan negara.

“Bagaimana hutang negara yang sudah melebihi RM1 trilion dan pinjaman dibuat untuk membayar bunga dan hutang negara. Bagaimana jangkaan pendapatan negara bila harga minyak masih belum stabil, kesan Covid 19 dan perniagaan terjejas.

“Di manakah sumber pendapatan? Jangkaan adalah ramalan yang belum tentu dan dimanakah sumber untuk membiayai Belanjawan 2021? Janganlah bunyi guruh di langit tapi hujan tidak turun,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Menurut Ibrahim, jangkaan Defisit Belanjawan 2021 merupakan defisit terbesar dalam sejarah belanjawan negara yang dianggarkan RM50 bilion atau lebih.

Sementara itu, beliau berkata, negara kehilangan banyak sumber pendapatan akibat kelemahan agensi perlaksanaan dan ianya berpunca dari rasuah yang berpanjangan. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights