SEORANG remaja lelaki ditahan polis susulan melakukan gangguan seksual terhadap kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dengan menghantar video dan mesej lucah, semalam.
Tangkapan ke atas suspek berusia 18 tahun itu dibuat di sebuah negeri di utara tanah air selepas pihak polis menerima laporan daripada bapa mangsa, Selasa lalu.
Ketua Penolong Pengarah Bahagian Siasatan Seksual, Wanita dan Kanak-kanak (D11) Bukit Aman, Asisten Komisioner Siti Kamsiah Hassan, berkata, kejadian itu disedari bapa mangsa selepas memeriksa telefon bimbit anaknya ketika berada di kediaman mereka.
Katanya, hasil pemeriksaan bapa kanak-kanak itu mendapati terdapat perbualan anaknya dengan seorang lelaki tidak dikenali sejak awal tahun.
“Dalam perbualan melalui mesej itu, suspek mengajak mangsa melakukan hubungan seks semasa mereka berjumpa.
“Selain itu, suspek turut menghantar video lucah serta mengajak mangsa melarikan diri,” katanya seperti dilapor Kosmo.
Siti Kamsiah berkata, susulan laporan itu pihak polis berjaya mengesan suspek sebelum membuat tangkapan.
“Suspek ditahan bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut di bawah Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017,” katanya. -Malaysiapost