KEDAH, Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Pulau Pinang layak ke peringkat suku akhir Piala Malaysia 2020 selepas menundukkan lawan masing-masing, malam tadi.
Di Stadium Darul Aman, Kedah membenam Pahang dengan kemenangan 3-2, di mana Kedah terlebih dahulu membuka jaringan melalui tandukan Shakir Hamzah yang langsung tidak dikawal pada minit ke 17.
20 minit kemudian, Kedah sekali lagi menambah derita Pahang apabila Kpah Sherman menanduk masuk hantaran cantik Kipre Tcherche dari sebelah kanan menjadikan kedudukan berubah kepada 2-0.
Satu minit sebelum tamat separuh masa pertama, Kedah berjaya menambah satu lagi gol menerusi rembatan kencang Kipre Tchetche yang gagal dikawal oleh pertahanan kanan Pahang, Kumahraan.
Keputusan 3-0 kekal sehingga separuh masa pertama. Namun begitu, skuad Tok Gajah mula mempamerkan kebangkitan pada separuh masa kedua. Pada minit ke 49, Muslim Ahmad berjaya menanduk masuk menewaskan penjaga gol Kedah hasil sepakan percuma Azam Azih.
Malah, Pahang juga berpeluang menambah gol kedua pada minit ke 79, namun Dickson Nwakaeme gagal menyempurnakan sepakan penalti yang diberikan oleh pengadil tempatan, Nazmi Nasharuddin.
Pada minit ke 87, pemain gantian, Faizal Rani berjaya menambah satu lagi gol kepada Pahang sekaligus menjadikan kedudukan berubah kepada 2-3.
Sementara itu, di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, JDT dipaksa bermandi peluh sebelum melangkah ke saingan suku akhir selepas menang tipis 1-0 menewaskan pendatang baharu kancah Piala Malaysia, Kuching FA.
Jaringan tunggal pemain muda Arif Aiman Mohd Hanafi menjadi penyelamat skuad Harimau Selatan untuk mara ke saingan suku akhir dan akan berdepan Kuala Lumpur di laman sendiri pada 12 November ini.
Turut mara ke suku akhir ialah juara Liga Perdana, Pulau Pinang selepas menewaskan pasukan Liga Super, FELDA United FC 3-1 di Stadium Bandaraya.-Malaysiapost