PKPB Mukim Parit Buntar mencabar – Polis

POLIS mengakui Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di Mukim Parit Buntar adalah mencabar berikutan kedudukannya yang bersempadan dengan Pulau Pinang dan Kedah.

Pemangku Ketua Polis Perak, Datuk Goh Boon Keng, berkata kebanyakan penduduk di daerah Kerian bekerja di luar daerah selain ada sebahagian peniaga di situ tinggal di Pulau Pinang dan Kedah.

“Hal ini satu cabaran besar dalam memastikan pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP).

“Orang ramai dinasihatkan tidak masuk ke mukim ini jika tiada urusan penting. Sekiranya tidak dapat dielakkan, mereka perlu dapatkan surat kebenaran pergerakan yang disahkan dari mana-mana balai polis,” katanya seperti dilapor BH.

Polis menempatkan 145 anggota di daerah itu selain dibantu 26 anggota agensi lain antaranya RELA dan Agensi Pertahan Awam Malaysia.

Sebelum ini, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sehingga 3 November lalu, Kementerian Kesihatan (KKM) telah mengesahkan sebanyak 12 kes positif Covid-19 direkodkan di mukim berkenaan.

Menurutnya, penilaian risiko oleh KKM pula menunjukkan trend peningkatan kes Covid-19 terus berlaku di mukim itu.

“Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju melaksanakan PKPB di Mukim Parit Buntar, Perak berkuat kuasa 7 hingga 20 November 2020.

“PKPB ini akan melibatkan seramai 45,359 orang penduduk dengan jumlah 7,847 unit rumah. Pelaksanaan PKPB ini juga bagi membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar di mukim ini,” katanya.-Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights