Nurul Huda Abhar
MENTERI Besar Kedah, Datuk Muhammad Sanusi Md Nor meminta semua rakyat negeri itu terus mematuhi arahan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Beliau berkata, kerajaan negeri mengambil maklum langkah pelaksanaan PKPB yang dikuatkuasakan Majlis Keselamatan Negara (MKN) selama empat minggu bermula 9 November hingga 9 Disember seperti diumum Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, hari ini.
“Peningkatan semula kes positif Covid-19 kepada dua digit di Kedah sejak semalam menggusarkan kita.
“Saya merayu rakyat Kedah terus mematuhi SOP, elakkan tempat berisiko. Aktiviti ziarah menziarahi belum sesuai pada waktu ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Muhammad Sanusi berkata, aktiviti ziarah-menziarahi secara fizikal boleh ditukar dengan bertanya khabar melalui medium media sosial.
“Silaturahim boleh terus dipereratkan menerusi panggilan video atau aplikasi media sosial yang pelbagai medium.
“Sebagaimana kita sedia maklum, setiap tindakan itu ada kesannya sama ada positif mahupun negatif. Kerana itu, pematuhan SOP amat penting untuk keadaan akan segera pulih dan ekonomi kita tidak terjejas lebih teruk,” katanya.
Kerajaan hari ini mengumumkan seluruh negeri di Semenanjung akan dilaksanakan PKPB kecuali Perlis, Pahang dan Kelantan selama empat minggu bermula 9 November sehingga 6 Disember.
Ismail Sabri berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mengenalpasti terdapat peningkatan ketara bilangan jangkitan Covid-19 dan kadar kebolehjangkitan di negeri-negeri tersebut yang dikenakan PKPB.
Katanya, perlaksanaan PKPB ini membolehkan KKM melaksanakan saringan secara bersasar dan mengurangkan pergerakan dalam kalangan komuniti di samping untuk mengekang penularan Covid-19. -Malaysiapost