BEKAS presiden Persatuan Pemuda Baru Universiti Malaya (Umany), Wong Yan Ke dibebaskan jam 12.20 tengah hari tadi selepas ditahan sejak petang semalam.
Ketika ditemui media di hadapan Balai Polis Mutiara Damansara, peguamnya Rajsurian Pillai berkata Yan Ke dibebaskan dengan jaminan polis tetapi mendakwa telefonnya dirampas.
Yan Ke pula memberitahu dia “letih dari segi mental” kerana ditahan lebih 15 jam meskipun sesi soal siasat hanya mengambil masa kurang sejam.
Semalam, Yan Ke ditahan selepas membuat rakaman video serbuan polis di rumah rakannya, Robin Yap Wen Qing.
Dia ditahan selepas polis ke rumah We Qing sebagai sebahagian daripada siasatan mengenai dakwaan hasutan dan penyalahgunaan kemudahan rangkaian susulan kenyataan Umany mengenai peranan Yang di-Pertuan Agong.
We Qing yang juga Presiden Umany, dan naib presiden Tan Li Yuan kini disiasat berhubung catatan “Yang Di-Pertuan Agong should not Interfere in national affairs” (Yang Di-Pertuan Agong tidak harus campur tangan dalam urusan negara) yang disiarkan di laman Facebook kumpulan itu baru-baru ini. – Malaysiapost