KAPAL terbang atau pesawat ringan selalunya dilihat di kawasan lapangan terbang awam atau persendirian kerana seperti sedia maklum ia hanya akan terbang di awan biru.
Tetapi, jika anda melalui kawasan perumahan di Taman Connaught, Cheras yang terletak di Kuala Lumpur jangan lepaskan peluang untuk melihat permandangan luar biasa.
Ya, ia luar biasa apabila sebuah kapal terbang ringan tersergam indah di depan salah sebuah banglo yang terdapat di kawasan perumahan itu.
Gambar-gambar rumah banglo itu tular di laman sosial, malah ada di antara mereka yang bermastautin di Cheras memberitahu kewujudan pesawat itu sebenarnya sudah berusia lebih dari 30 tahun.
Beberapa catatan pemilik akaun Facebook yang melihat kembali gambar banglo bersama pesawat itu mengimbau memori kenangan kanak-kanak mereka yang teruja apabila melintasi kediaman tersebut.
“Dari kecil-kecil pergi rumah Makteh Hazaman Man kita akan lalu depan rumah ni kan. Memang epik..asal pergi Cheras je mesti tertunggu-tunggu bila nak lalu depan rumah ini,” tulis Wan Faizatul Akmar Ismayatim.
“Pernah tengok sekali dulu masa sekolah rendah..tapi dulu tak tahu rumah tu di mana..memang terpegun sekejap tengok rumah tu,” kata Noorul Aien.
Selain itu, ada juga yang hairan kerana sepanjang melalui kawasan itu mereka tidak pernah melihat atau menyedari kewujudan pesawat itu.
Menurut Ahmad Amiuddin, dia sering melalui kawasan tersebut tetapi tidak mengetahui tentang banglo itu malah bertanya adakah baharu saja pesawat tersebut dipamerkan.
“Aku rasa aku dah master (tahu) habis bulatan Taman Connought, tapi tak berapa nak ada dalam memori la. Baru landing (mendarat) ke?,” dia bertanya.
Kisah di sebalik ‘rumah kapal terbang’
Mungkin anda juga tertanya-tanya mengapa sebab kapal terbang itu diletakkan di depan banglo tersebut dan apa keistimewaannya pada pemilik kediaman itu.
Memetik portal Say.com, salah seorang penduduk di kawasan perumahan tersebut telah berkongsi cerita di sebalik kewujudan pesawat itu.
Beliau yang dikenali sebagai Mun Hao memberitahu bahawa ibunya kadang-kala bertemu dengan isteri kepada pemilik banglo berkenaan di pasar dan pernah bercerita kepadanya mengapa pesawat itu diletakkan di hadapan rumah.
“Pemiliknya telah melalui banyak kesulitan tetapi selalu mengimpikan memiliki memiliki pesawat sendiri. Secara kebetulan, dia dibawa oleh seorang rakannya ke sebuah lapangan terbang lama yang menjual kapal terbang ini.
“Oleh itu, dia memutuskan untuk membeli kapal terbang itu dan meletakkannya di depan rumah untuk meraikan kejayaannya sendiri dan sekarang ia menjadi peringatan bagi semua kerja kerasnya ketika itu,” ujarnya.
Sementara itu, Mun Hao mengesahkan bahawa pemilik yang sama dan keluarganya masih tinggal di kawasan perumahan tersebut hingga kini. – Malaysiapost