ARENA bola sepak negara kehilangan Datuk Mohamad Bakar, legenda yang pernah membawa skuad negara beraksi di Sukan Olimpik dua kali iaitu pada 1972 dan 1980.
Allahyarham meninggal dunia di Institut Perubatan dan Pergigian Termaju (IPPT) Universiti Sains Malaysia (USM) di Kepala Batas pagi tadi, dan akan dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Bagan Ajam petang ini selepas solat Asar.
Difahamkan, Allahyarham yang beraksi sebagai pemain di Sukan Olimpik 1972 dan 1980 sebagai penolong jurulatih, mengalami penyakit berkaitan darah dan dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang pada 12 Oktober lalu.
Bagaimanapun, minggu lalu keadaannya kembali tenat dan dirujuk ke IPPT sebelum menghembuskan nafas terakhir pada usia 75 tahun.
Antara yang bersedih atas pemergian Allahyarham adalah Datuk Soh Chin Ann yang menyifatkan bekas rakan sepasukannya ketika beraksi di Jerman pada Olimpik 1972, seorang pemain yang periang dan baik hati.
Katanya, Mohamad Bakar adalah seorang guru sebelum terpilih bermain bersama skuad kebangsaan di posisi sayap kanan.
“Dia dulu cikgu, lepas itu dapat main dengan pasukan negara. Masa Olimpik 72 dulu, dia memang dalam pasukan dan kami bermain bersama.
“Arwah cukup baik dan sebagai seorang cikgu, sifat dia suka berkawan dengan semua orang. Malah, masa kempen kelayakan Olimpik 1980, dia juga ada dalam pasukan sebagai penolong jurulatih.
“Dia banyak bagi tunjuk ajar kepada pemain baharu ketika itu (skuad Olimpik 1980) dan amat disenangi oleh semua pemain termasuk senior dan junior. Bagi saya kehilangan dia cukup sedih bagi kita semua,” katanya seperti dilaporkan Harian Metro, hari ini.
Nada sama diluahkan seorang lagi bekas pemain negara, Bakri Ibni yang sempat menuntut ilmu bola sepak daripada arwah ketika menjadi penolong kepada Karl-Heinz Weigang pada kelayakan Olimpik 1980.
“Kejayaan skuad Olimpik 1980 turut terhasil atas tunjuk ajar arwah kerana selepas Olimpik 1972 sebagai pemain, dia jadi jurulatih pula.
“Saya masa itu macam pemain junior dalam pasukan. Saya lihat arwah sangat peramah dan senang berkomunikasi dengannya. Kadang-kadang ketika latihan pun dia akan bermain sekali dengan kami.
“Saya anggap dia permata bola sepak negara yang mempunyai ilmu bola sepak yang hebat. Sebab selepas dia jadi jurulatih, dia ada melanjutkan pelajaran di luar negara dan kembali jadi guru di Pulau Pinang.
“Banyak pemain berjaya dilahirkan olehnya terutama dari Pulau Pinang. Bagi saya, Malaysia dan Pulau Pinang kehilangan permata yang tak ada pengganti,” kata Bakri.
Arwah juga pernah mencatat beberapa kejayaan sebagai jurulatih terutama membawa skuad negara merangkul emas Sukan SEA Jakarta 1979 dan Piala Merdeka di Kuala Lumpur pada tahun sama.
Pada tahun itu juga, skuad bimbingannya layak beraksi di Kejohanan Piala Asia Kuwait selepas melepasi kelayakan awal di Bangkok, Thailand sebelum menjadi penolong jurulatih kepada Weigang untuk kelayakan Sukan Olimpik 1980. – Malaysiapost