Nahas helikopter: Polis selesai ambil keterangan dua mangsa terselamat

BEKAS Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Airlines Berhad (MAS), Datuk Ahmad Jauhari Yahya dan seorang lagi mangsa, Tan Chai Elan yang terselamat dalam nahas helikopter terhempas telah dirakamkan keterangan masing-masing.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Esha berkata, keterangan kedua mereka diambil di tempat kejadian helikopter yang terhempas pada jam 12 tengah hari tadi.

“Keterangan Datuk Ahmad Jauhari telah diambil di sini (IPD Ampang) dan dihantar ke hospital. Kemungkinan kalau diperlukan akan dipanggil kemudian,” katanya.

Kedua-dua mangsa yang terselamat dilihat berada di tempat kejadian dan dibawa ke hospital untuk rawatan lanjut pada jam 3.15 petang tadi dengan kenderaan polis.

Mohamad Farouk berkata, bangkai helikopter milik My HeliClub itu akan dibawa ke Lapangan Terbang Antarabangsa Subang untuk siasatan lanjut.

“Bangkai dihantar ke Subang Sistematik Aviation Services (SAS) untuk siasatan lanjut.

“Siasatan lanjut akan dibuat oleh Biro Siasatan Kemalangan Udara di bawah Kementerian Pengangkutan,” katanya.

Sementara itu, polis merayu kepada mana-mana saksi kejadian untuk tampil memberikan keterangan.

“Kami mohon saksi yang merakam kejadian untuk tampil ke Balai Polis Taman Melawati dan IPD Ampang untuk membantu siasatan.

“Saksi kita tengah kumpul, saksi di tempat kejadian kita telah ambil dan saksi awam kita tengah kumpulkan,” katanya lagi.

Polis mengklasifikasikan kes sebagai kematian mengejut.

Terdahulu, satu kemalangan udara dilaporkan pada jam 11.50 pagi tadi, di Bukit Melawati, Kuala Lumpur yang melibatkan dua helikopter (9M-HCA & 9MHCB) jenis G2CA.

Dua helikopter itu yang sedang melakukan latihan penerbangan telah berlepas dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS), Subang bersama empat kru.

Kedua-dua helikopter dilaporkan bertembung sesama sendiri di udara, di mana satu helikopter telah terhempas dan satu lagi berjaya membuat pendaratan cemas di kawasan lapang berdekatan Sekolah Jenis Kebangsaan (T) Taman Melawati.

Susulan kejadian itu, dua mangsa maut, manakala dua lagi cedera. – Malaysiapost

Foto kredit : Malay Mail

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights