MENTERI Komunikasi dan Multimedia serta Menteri Kewangan perlu membatalkan cadangan mewujudkan semula Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA), kata Ahli Parlimen Lembah Pantai, Fahmi Fadzil.
Malah beliau meminta Belanjawan 2021 dipinda dengan mengagihkan dana RM85.5 juta untuk JASA sama ada kepada program dan agensi penerangan dan komunikasi sedia ada, atau dibelanjakan untuk program yang lebih bermanfaat kepada rakyat.
Jurucakap PKR bagi Komunikasi, Seni dan Budaya itu berkata Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) memberi alasan lemah mengapa JASA perlu diwujudkan semula selepas ditutup pada 2018.
“Seluruh Malaysia tahu JASA adalah unit propaganda politik parti pemerintah, yang pada satu ketika dahulu sering diguna untuk menyerang pembangkang menggunakan wang rakyat.
“Sememangnya dana RM85.5 juta dalam Belanjawan 2021 – RM4 juta di bawah butiran 021000 Hal Ehwal Khas (JASA) dalam Komunikasi Strategik dan Industri Kreatif, dan RM81.5 juta di bawah butiran 050100 Perluasan JASA dalam Dasar Baru – bukanlah jumlah yang kecil.
“Sebagai perbandingan, jumlah ini boleh diguna membina dua Klinik Kesihatan (Jenis 2) yang dilengkapi peralatan perubatan terkini dan mampu memberi khidmat kepada 500 hingga 800 pengunjung setiap hari.
“Atau boleh membina 3 bangunan sekolah dengan 24 bilik darjah setiap satu.
“Atau boleh dimasukkan ke dalam Tabung CERDIK, di mana jumlah ini mampu membeli 85,000 komputer riba tambahan untuk begitu ramai pelajar sekolah rendah dan menengah yang tidak mampu mengikuti pembelajaran secara dalam talian,” katanya menerusi kenyataan.
Dari sudut yang berbeza, Fahmi berkata fungsi JASA sebenarnya bertindih dengan pelbagai agensi sedia ada, termasuk Jabatan Penerangan, RTM, Bernama, Bernama TV dan Komunikasi Strategik (StratCom).
“Malah juga Unit Komunikasi Korporat kementerian-kementerian. Kenapa tidak dibelanjakan sahaja RM85.5 juta ini untuk beli peralatan baru, menambah perjawatan dan memperkukuh badan dan agensi sedia ada ini?
“Atau adakah Perikatan Nasional sebenarnya berkata agensi lain ini – yang diberi lebih RM731 juta dalam Belanjawan 2021 – tidak mampu atau gagal melaksanakan tugas menyampaikan maklumat hingga ke akar umbi?,” katanya. – Malaysiapost