Lelaki turut jadi mangsa keganasan rumah tangga di Selangor

KAUM lelaki juga dikenal pasti sebagai mangsa dalam kes keganasan rumah tangga yang direkodkan di Selangor sejak Januari hingga September lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kesihatan Awam, Perpaduan, Pembangunan Wanita dan Keluarga negeri, Dr Siti Mariah Mahmud, berkata daripada 254 kes yang dilaporkan, 30 daripadanya membabitkan mangsa lelaki.

Beliau berkata, jumlah kes terbabit adalah berdasarkan statistik diperoleh daripada Unit Perundangan dan Penguatkuasaan, Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor.

“Daerah Hulu Langat merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 70 kes, diikuti Gombak (34), Subang Jaya (31), Klang (29) serta kawasan lain (90).

“Daripada jumlah keseluruhan itu, mangsa dalam 224 kes membabitkan wanita, manakala 30 lagi lelaki,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mengulas lanjut, Dr Siti Mariah berkata, keganasan rumah tangga yang paling banyak dilaporkan ialah menyebabkan kecederaan atau mencederakan mangsa secara fizikal, iaitu sebanyak 119 kes.

Beliau berkata, ia disusuli 71 kes dengan sengaja atau cuba meletakkan mangsa dalam keadaan ketakutan kecederaan fizikal, selain 50 kes pelaku melakukan penderaan psikologi dan emosi terhadap mangsa.

“Kes keganasan rumah tangga juga dilihat meningkat secara mendadak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Ia berkemungkinan disebabkan tekanan yang dialami akibat PKP,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Siti Mariah memaklumkan, kerajaan negeri bekerjasama dengan Pertubuhan Pertolongan Wanita (WOA) dalam Program Komuniti Selamat Bersepadu.

Beliau berkata, ia bagi menyediakan keperluan seperti perubatan, tempat tinggal, pengangkutan dan makan minum kepada mangsa keganasan rumah tangga.

“Sepanjang tempoh April hingga Jun lalu, seramai 31 individu (mangsa keganasan rumah tangga) dilindungi membabitkan wanita, kanak-kanak lelaki dan perempuan, serta bayi lelaki dan perempuan,” katanya. -Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights