1.14 juta akaun alami gangguan bekalan air

Fitri Nizam

SEBANYAK 1.14 juta akaun merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur dan Selangor dijangka mengalami gangguan bekalan air tidak berjadual akibat pencemaran air di Sungai Selangor.

Ketua Komunikasi Korporat Pengurusan Air Selangor, Elina Baseri, berkata lanjutan pengumuman Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) berhubung pencemaran bau seakan bahan pelarut di Sungai Selangor, pihaknya memaklumkan henti tugas di Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Selangor Fasa 1, 2, 3 dan Rantau Panjang.

Katanya, sehingga jam 2.30 petang tadi, pencemaran di Muka Sauk LRA Rantau Panjang berada pada tahap 8 TON manakala LRA Sungai Selangor Fasa 1, 2 dan 3 pada tahap 4 TON.

“Henti tugas keempat-empat loji ini dijangka menyebabkan gangguan bekalan air tidak berjadual melibatkan 1,139,008 akaun merangkumi 1,279 kawasan di Kuala Lumpur, Petaling, Klang, Shah Alam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Gombak dan Kuala Langat.

“Bekalan air akan ditutup pada jam 6 petang,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, usaha untuk mencairkan bahan pelarut dan ‘flushing’ bahan pencemaran yang terdapat di dalam Sungai Selangor telah dilakukan dengan melepaskan air dari Empangan Sungai Selangor sebanyak 300 juta liter sehari dan empangan Sungai Tinggi sebanyak 500 juta liter sehari.

“Dalam pada itu, LUAS telah melepaskan air mentah melalui operasi pengepaman kolam KL Larut dengan kapasit 192 juta liter sehari untuk tujuan sama,” katanya.

Elina berkata, Air Selangor amat memahami situasi pengguna yang memerlukan air bersih terutama ketika peningkatan kes Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengambil segala usaha bagi meminimakan impak gangguan kepada pengguna yang terjejas.

“Maklumat gangguan bekalan air tidak berjadual akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi semua medium komunikasi Air Selangor termasuk Twitter, Facebook, Instagram, aplikasi Air Selangor dan laman sesawang kami di www.airselangor.com,” katanya. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights