3 pengarah direman, beri rasuah jutaan ringgit

TIGA pengarah syarikat termasuk dua bergelar Datuk direman lima hari bermula hari ini, kerana disyaki memberi rasuah berjumlah jutaan ringgit kepada pegawai syarikat telekomunikasi untuk mendapatkan nombor telefon pelanggan bagi tujuan penipuan sistem pesanan ringkas (SMS).

Perintah reman sehingga Sabtu ini dikeluarkan Majistret Shah Wira Abdul Halim, di Mahkamah Majistret Putrajaya, selepas Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) membuat permohonan itu pagi tadi.

Menurut sumber, tiga suspek berusia antara 41 hingga 48 tahun itu ditahan di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya, antara jam 9 hingga 11 malam tadi selepas hadir memberikan keterangan.

Katanya, semua pengarah bagi tiga syarikat berlainan itu dipercayai membayar wang rasuah kepada pegawai syarikat telekomunikasi bagi mendapatkan nombor telefon pelanggan untuk digunakan oleh sindiket penipuan ‘Content provider’ (pembekal maklumat) menerusi SMS.

“Ia dengan mengenakan bayaran langganan tanpa pengetahuan dan persetujuan daripada pengguna,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 16 (b)(A) Akta SPRM 2009. -Malaysiapost

Foto Kredit: NSTP

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights