Jangan teruskan cadangan RM81 juta untuk JASA – Najib

Fitri Nizam

SUARA rakyat, suara keramat, perkara tidak disenangi rakyat jangan diteruskan, kata Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

Nasihat itu diberikan bekas Perdana Menteri itu kepada kerajaan selepas peruntukan RM81 juta untuk Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) mengundang kemarahan rakyat yang sedang ‘berperang’ dengan krisis Covid-19.

Beliau berkata, pada masa senang dan ekonomi sedang berkembang ada perlunya kerajaan mempunyai unit komunikasi untuk menerangkan dan mempertahankan dasar-dasar kerajaan agar tidak disalah faham atau diputar belit pihak tertentu.

“Tetapi pada zaman krisis peruntukan lebih diperlukan untuk selamatkan rakyat, kenaikan empat kali ganda kepada agensi JASA berbanding zaman BN (Barisan Nasional) sukar diterima ramai dan mengundang kemarahan rakyat.

“Saya boleh terima jika peruntukan itu diguna untuk membeli pelitup muka atau hand sanitizer kepada rakyat, diberi kepada ibu bapa untuk digantikan RMT (Rancangan Makanan Tambahan) bagi murid yang dinafikan sarapan pagi kerana sekolah ditutup sehingga awal tahun hadapan.

“Tetapi saya tak dapat terima cadangan RM81 juta untuk JASA,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat, hari ini.

Justeru, Najib menyarankan kerajaan tidak meneruskan hasrat itu dan menyalurkan dana itu kepada perkara yang lebih penting untuk ketika ini. – Malaysiapost

Artikel Terbaharu

Artikel Berkaitan

Verified by MonsterInsights