Ajal maut ditentukan Allah – KP Kesihatan

Ajal maut ditentukan Allah – KP Kesihatan

“AJAL maut kita ditentukan oleh Allah SWT,” kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Kata-kata itu ditujukan kepada semua petugas barisan hadapan menerusi satu hantaran yang dimuat naik
beliau di platform media sosial miliknya malam ini.

“Saya menyeru kepada semua frontliners sebelum memulakan tugas kita seharian, pastikan kita pasangkan niat, nawaitu kita berkhidmat kerana Allah SWT.

“Insha-Allah akan dipermudahkan segala beban kerja dan selepas kita berusaha bersungguh-sungguh marilah kita bertawakal kembali kepada Allah SWT. Ajal maut kita ditentukan oleh Allah SWT,” katanya.

Hantaran itu dimuat naik ketika hangat isu beliau dituduh ‘takut mati’ kerana didakwa tidak ke Sabah oleh Ahli Parlimen Bintulu, Datuk Seri Tiong King Sing pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

“DG (Dr Noor Hisham) takut mati sebab dia tak turun di Sabah, tak lockdown awal-awal di penjara,” kata King Sing hingga menimbulkan suasana panas di Parlimen.

Ketika menjawab soalan wartawan yang meminta reaksinya dalam sidang media harian Covid-19 petang tadi, Dr Noor Hisham berkata, tidak timbul isu takut mati atau tidak kerana sebagai orang Islam kita terima kematian itu ada di mana-mana.

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) telah membuat perancangan khusus untuk negeri Sabah sejak sebelum Pilihan Raya Negeri (PRN) dilaksanakan.

“Saya sendiri telah turun iaitu pada akhir Ogos lalu dan melihat kepada pengurusan iaitu kesiapsiagaan KKM untuk PRN Sabah,” katanya. – Malaysiapost