Belanjawan 2021: Golongan M40 tersisih, ramai kini tergolong sebagai B40

Belanjawan 2021: Golongan M40 tersisih, ramai kini tergolong sebagai B40

[Parlimen] GOLONGAN isi rumah berpendapatan pertengahan (M40) kurang diberi tumpuan dalam Belanjawan 2021, kata Datuk Ahmad Jazlan Yaakub (BN – Machang). 

Beliau mengingatkan kerajaan bahawa telah ramai dalam kalangan M40 kini termasuk di dalam golongan isi rumah berpendapatan terendah (B40). 

Katanya, di saat krisis yang dihadapi sebesar ini, pada bila-bila masa sahaja mereka akan termasuk di dalam golongan B40. 

“Mereka mempunyai tanggungan yang besar, kos sara hidup juga tinggi, dan ini bukanlah salah mereka kerana ia bersesuaian dengan kadar pendapatan mereka pada waktu itu. 

“Kehidupan bagi mereka mesti berjalan seperti biasa. Walaupun corak kehidupan sudah berubah. 

“Tetapi komitmen asas ditanggung mereka tidak boleh berubah dalam sekelip mata. Mereka memerlukan masa,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Pembekalan (Belanjawan) 2021 di Dewan Rakyat hari ini. 

Berikutan itu, Ahmad Jazlan yang juga Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan menyokong jika tempoh moratorium dilanjutkan sehingga keadaan kembali terkawal. 

Katanya, moratorium mesti dilaksanakan secara menyeluruh bukan sahaja melibatkan pihak bank atau institusi kewangan, malah 

pihak lain seperti TEKUN dan Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang melibatkan peminjam-peminjam dari golongan B40. 

“Janganlah sewaktu ekonomi negara berada dalam keadaan baik, institusi kewangan menikmati keuntungan, tetapi mengharungi zaman susah, mereka seperti enau dalam belukar, melepaskan pucuk masing-masing. 

“Sebagai contoh, keluarga yang dulunya tergolong dalam M40, tiba-tiba hari ini, suami isteri ini digantung pekerjaan mereka sementara, atau cuti tanpa gaji. 

“Dengan sendirinya mereka hilang punca pendapatan. Kalau mengikut rujukan LHDN, pada tahun sebelumnya mereka mempunyai pendapatan yang tergolong dalam golongan M40,” katanya. 

Maka, beliau berkata rujukan lebih tepat ialah kerajaan mesti melihat caruman KWSP kerana tentu apabila hilang pendapatan, mereka tidak akan mencarum lagi. 

“Saya seperti rakan-rakan lain meminta kerajaan menaikkan kadar pengeluaran caruman ini sehingga RM10,000 sekurang-kurangnya,” katanya. 

Beliau juga berkata, belanjawan tidak memberi tumpuan kepada pelajar institusi pengajian tinggi (IPT).

“Bantuan kepada mereka perlu ditambah. Kalaupun kerajaan mempunyai kekangan kewangan, ia perlu dilaksanakan secara bersasar. 

“Yuran pengajian hendaklah diturunkan seminima mungkin kerana IPT telah dapat melakukan banyak penjimatan dalam tempoh pembelajaran secara online,” katanya. – Malaysiapost